Tuesday 14 June 2011

Pelancongan di Kg. Nenasi Pantai, Pekan

PANTAI NENASI


Nenasi merupakan sebuah bandar kecil di Pahang, Malaysia. Ia terletak di dalam daerah Pekan, separuh jalan antara Kuala Rompin dan Pekan. Nenasi adalah satu kawasan yang sesuai untuk aktiviti-aktiviti perkhemahan di pantai memandangkan kawasannya yang terletak di pesisir pantai. Aktiviti –aktiviti seperti mengail, barbeku, kem, dan berenang adalah antaranya. Terdapat juga kawasan seperti paya, sawah-sawah purba, sungai-sungai dan kampung kecil yang boleh diteroka. Daripada jalan raya - sebelum atau selepas bandar - anda perlu memandu / berjalan ke pantai dan merentasi satu parit air surut sebelum tiba ke pantai itu sendiri.



MEMANCING IKAN

Bot-bot nelayan disediakan bagi pemancing-pemancing  yang ingin memancing ikan di laut. Bayaran akan dikenakan bagi setiap pemancing memandangkan bot-bot berkenaan perlu disewa. Aktiviti seperti pertandingan memancing turut diadakan dari semasa ke semasa. Contohnya Pertandingan Memancing Nenasi.



MENONTON PENGHIJRAHAN BURUNG BOTAK


Burung botak atau nama saintifiknya, Leptotilos Javalicus atau turut dikenali dengan nama Lesser Adjutant Stork ialah sejenis unggas yang mudah ditemui di kawasan paya bakau serta di kawasan persisir pantai yang berlumpur. Walau bagaimanapun, haiwan unik ini dikatakan antara spesies burung yang semakin pupus. Burung botak merupakan salah satu spesies burung yang turut merentasi Semenanjung Malaysia pada musim penghijrahan burung mengelilingi dunia. Dipercayai, sebanyak 44 daripada 55 spesies singgah di Parit Jawa pada bulan Mei setiap tahun sebelum meneruskan penghijrahan ke tempat lain. Kehadiran burung-burung ini menjadikan Parit Jawa begitu terkenal di kalangan peminat burung dari dalam dan luar negara. 


Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Pengkaji Burung Antarabangsa sehingga tahun 2002, jumlah burung botak dianggarkan sebanyak 5,000 dan daripada jumlah itu, sebanyak 250 ekor daripadanya terdapat di Semenanjung Malaysia. Pembiakannya tertumpu di beberapa kawasan seperti di pantai barat, termasuk kira-kira dua peratus di Johor. Antara habitat popular burung botak di negara ini ialah hutan paya bakau Matang, Perak, hutan simpan Nenasi di Pahang dan di sekitar Johor termasuk Parit Jawa. Justeru bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya pengunjung Pantai Leka dapat melihat kelibat burung botak bertenggek di dahan-dahan pokok walaupun bukan pada musim penghijrahan burung. Kawasan-kawasan ini menjadi pilihan burung botak untuk membiak kerana kerana keadaan semula jadi lokasi tersebut yang diliputi pantai berlumpur.